SEBERANG PERAI – Seorang wanita warga emas melecur pada muka akibat disambar api dalam kejadian kebakaran dapur di sebuah rumah di Taman Sutera, Seberang Jaya di sini petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6 petang dan dimaklumkan seorang wanita berusia 61 tahun telah melecur.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kebakaran yang membabitkan dapur memasak sudah dipadamkan orang awam.
“Terdapat seorang mangsa melecur pada muka akibat disambar api dan dia dibawa oleh orang awam ke hospital untuk rawatan,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Menurutnya, operasi yang dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat Perai itu ditamatkan pukul 6.27 petang. – K! ONLINE