KLUANG – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Taman Berlian Biru di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa, Sia Ching Choon, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Affendy Mustafa berkata, seramai 11 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Sejurus Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori Isuzu dan sebuah kereta jenis Proton lswara.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir.
“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya operasi ditamatkan pada pukul 1.21 pagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.“Dalam kejadian di kilometer 50 Jalan Batu Pahat Mersing itu, pemandu lori dan kelindannya tidak mengalami kecederaan.
“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Sekayen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987),” katanya. -K! ONLINE