fbpx

Lebih 65 juta tontonan YouTube, Tyka nyanyi semula lagu Upin & Ipin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TYKA sudah sebati dengan irama berlenggok dangdut dan berharap kemunculannya dalam bidang seni suara akan mewarnai lagi industri kreatif.

Oleh NURFARHANA MOHAMED

NAMA penyanyi Tyka Zatyka mungkin kedengaran asing di persada seni tempatan, akan tetapi bakat anak kelahiran Johor Bahru itu bukan calang-calang dan tidak keterlaluan untuk mengatakan tahun ini dia sangat bertuah.

Empunya nama penuh Noor Amierazatyka Ayob itu diberi peluang menyanyikan semula lagu animasi popular Upin & Ipin terbitan Les Copaque Production (LCP) yang berjudul Goyang Upin & Ipin.

Lagu asal ciptaan Arif Asyraf Munap dan lirik oleh Ahmad Zakri Tomirin itu turut menampilkan video muzik yang dimuat naik ke saluran YouTube LCP sejak 3 Ogos lalu telah meraih lebih 65 juta tontonan.

Seperti mana animasi itu yang turut diminati di negara jiran, Indonesia, pemilihan Tyka juga dilihat tepat. Ini kerana dia sendiri mempunyai kelompok peminat di sana selepas menyertai dan memenangi tempat keempat di pertandingan D’Academy Asia (DAA) Indonesia musim keempat pada 2018.

Menerusi projek usahasama di antara Nova Music dan LCP itu, judul lagu yang dinyanyikan Tyka ditukar kepada Goyang Sama Sama.

“Semuanya terjadi begitu pantas. Saya menerima mesej daripada pihak Nova Music beberapa bulan lalu. Ketika itu kebetulan saya ada di Kuala Lumpur kerana ada persembahan menyanyi bersama Noraniza Idris.

“Saya dimaklumkan ada lagu animasi Upin & Ipin berentak dangdut yang mahu dinyanyikan. Saya difahamkan ada beberapa nama penyanyi dicadangkan, tapi rezeki berpihak kepada diri ini. Satu penghormatan untuk artis baru seperti saya di atas peluang manis ini.

“Rakaman lagu dibuat pada 12 Ogos. Kebetulan sejak menyertai DAA musim empat, saya didedahkan dengan lagu dangdut. Jadi mungkin juga itu antara lesen besar tuah memihak kepada saya,” kata penyanyi berusia 25 tahun itu lagi.

Sementara itu, Tyka turut berkongsi tentang video muzik yang dirakamkan di negeri kelahirannya pada 12 September lalu dan sudah pun dilancarkan pada 16 Oktober di saluran YouTube Nova Music Videos.

Katanya lagi, dia sudah sebati dengan irama berlenggok dangdut dan berharap kemunculannya dalam bidang seni suara akan mewarnai lagi industri kreatif.

ANAK kelahiran Johor Bahru itu bersyukur dapat menyanyi pelbagai irama sekali gus membukti kemampuan dirinya bersifat versatil.

“Sebesar impak lagu itu dapat diterima di Indonesia khususnya serta Malaysia, saya juga mengharapkan yang sama untuk versi baru ini.

“Jujurnya menyanyikan lagu dangdut itu bagai sudah sebati dalam diri. Kemampuan saya menyanyikan lenggok irama Malaysia sejak kecil mungkin bonus untuk menguasai genre muzik lain.

“Bukan mahu mendabik dada, tapi saya bersyukur dapat menyanyi pelbagai irama sekali gus membukti kemampuan diri ini bersifat versatil.

“Sewaktu bertanding DAA 4, irama dangdut yang membantu nama saya dikenali di sana. Mungkin juga irama dangdut yang akan beri tuah untuk saya menyinar selepas ini. Saya tak kisah jika ada yang menganggap diri ini menumpang populariti Upin & Ipin. Semuanya itu berbalik kepada soal rezeki,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI