SHAH ALAM – Seorang pengawal keselamatan Masjid Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini menganggap insiden didakwa menghempas seekor kucing telah disalah tasfir oleh orang ramai.
Dia yang merupakan warga Bangladesh dikenali Zakir, 47, berkata, ketika kejadian sebenarnya dia sedang bermain dengan kucing tersebut.
Katanya, kucing tersebut dianggap sebagai anak sendiri selepas dikutip di sebuah pasar sejak tiga bulan lalu.
“Mana mungkin saya melakukan perbuatan kejam itu sedangkan haiwan tersebut dipelihara seperti anak sendiri.
“Saya ketika itu hanya bermain dengan kucing tersebut dan tidak menghempas ke tanah seperti yang didakwa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini masjid berkenaan hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 24 saat di laman sosial yang menunjukkan seorang lelaki mengusap seekor kucing sebelum mengangkatnya, seolah-olah mahu menghempas ia ke lantai.
Berdasarkan rakaman itu, jeritan seorang wanita turut kedengaran dipercayai cuba menghentikan tindakan tersebut dan akan membuat laporan polis berhubung aksi tersebut.
Zakir yang telah bekerja di masjid itu sejak tiga tahun lalu bagaimanapun menyedari kesilapannya dan memohon maaf kepada semua pihak.
“Kejadian itu juga menjadi pengajaran berguna kepada saya supaya lebih berwaspada dan tidak menimbulkan salah sangka kepada sesiapa,” katanya.
Sementara itu, Nazir masjid tersebut, Harani Md Saad, 54, menegaskan, pihaknya turut memberi kerjasama penuh kepada polis mengenai kejadian berkenaan.
“Kami sudah menyalurkan semua maklumat kepada polis termasuk memeriksa lokasi kejadian dan kucing tersebut.
“Kucing itu sememangnya masih sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Namun, beliau turut memberi amaran kepada pengawal keselamatan itu supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan. -K! ONLINE