Oleh MOHD. RIFAAT ABD HAMID
KUALA NERANG – Sepasang suami isteri dari Kampung Perik, Mukim Kurung Hitam dekat sini merayu sumbangan orang ramai bagi memenuhi keperluan bayi mereka yang dilahirkan dalam keadaan organnya iaitu hati berada di luar badan selain mengalami masalah jantung berlubang.
Menurut Norliza Mohd. Saad, 35, dia dan suami, Sanudin Ibrahim, 46, tidak mampu membeli keperluan anak bongsu, Mohamad Amar berusia tiga bulan yang memerlukan penjagaan rapi kerana kekangan kewangan.
“Amar menghidap penyakit berkaitan hati atau omphalocele with extra corpireal liver, jantung berlubang selain tiada cuping telinga kanan sejak dilahirkan.
“Kami tidak mempunyai cukup wang untuk menyediakan keperluannya kerana suami hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM600 sebulan bagi menyara kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Katanya, dia resah apabila anak bongsu daripada lima beradik itu kerap menangis dengan badan berpeluh terutama pada waktu tengah hari sejak kebelakangan ini.
“Melihat keadaannya itu yang juga memerlukan persekitaran bersih, kami bercadang untuk memasang penyaman udara tetapi buat masa ini kami tidak mampu untuk berbuat demikian,” ujarnya.
Menurut suri rumah itu, dia perlu membersihkan hati anaknya itu sebanyak dua kali sehari.
“Saya kena pastikan organ tersebut dalam keadaan baik dan bersih, jika tidak ia akan berbau seterusnya menyebabkan anak saya jatuh sakit,” jelasnya.
Norliza berkata, dia difahamkan anaknya itu akan menjalani pembedahan bagi memasukkan hati ke dalam badan, namun belum dimaklumkan lanjut tentang perkara tersebut.
“Buat masa ini, kami berdepan masalah kewangan untuk menyediakan barang keperluan bayi yang sakit selain terpaksa berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar setiap bulan bagi mendapatkan rawatan.
“Pendapatan suami tidak mencukupi untuk menanggung semua keperluan termasuk menjaga empat anak lain berusia tiga hingga 15 tahun,” katanya.
Tambahnya, bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah tidak mencukupi dan mereka pernah meminjam wang daripada saudara setiap kali suami tidak dapat keluar menoreh.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh dilakukan menerusi akaun Bank Islam 02-039-02-487174-9 milik Norliza atau menghubunginya di talian 019-942 1670.