PORT DICKSON – Seorang bapa tunggal yang menderita sakit tulang belakang dan kencing manis kronik kini hidup sebatang kara selepas tidak mampu lagi bergerak dan penglihatannya semakin kabur.
Musraini Mustapar Kamar, 43, yang mempunyai tiga orang anak berkata, keluarga merupakan kekuatan kepada dirinya sebelum ini, namun segala-galanya berubah selepas dia terlibat kemalangan dan berpisah dengan isterinya tiga tahun lalu.
“Saya tidak minta jadi begini dan ingin berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain tetapi kesihatan saya tidak mengizinkan saya berbuat demikian, saya rasa sangat lemah dan tidak berguna.
“Selepas berpisah dengan isteri, saya tinggal seorang diri dan hasil perkahwinan itu, saya dikurniakan tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan yang kini tinggal bersama bekas isteri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman TKK, Bagan Pinang di sini kelmarin.
Lebih memilukan, Musraini berkata, sebagai seorang bapa dia amat sedih apabila tidak mampu memberikan nafkah kepada anak-anaknya selepas hilang punca pendapatan akibat masalah kesihatan yang dialami.
Musraini yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat elektrik di Port Dickson memberitahu, akibat terlibat dalam kemalangan tiga tahun lalu dia mengalami masalah sarah dan tulang belakang yang kronik sehingga hilang punca pendapatan.
“Sakit lama masih belum pulih, saya diuji dengan satu lagi kemalangan kereta di Rembau awal tahun lalu menyebabkan kaki semakin lemah dan sukar bergerak.
“Sejak itu, saya tidak lagi mampu bergerak seperti biasa dan pastinya tidak mampu bekerja lagi kerana turut mengalami masalah kesihatan lain seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.
Musraini memberitahu, penyakit kencing manis itu membuatkan matanya menjadi rabun hingga sukar bergerak seperti dahulu dan kebanyakan masa dia hanya makan mi segera untuk alas perut selain jiran turut menghulurkan makanan.
Dalam nada sebak, Musraini melahirkan kegusaran memikirkan masa depan apabila wang simpannya sudah habis bagi menampung hidup dan membayar ansuran rumah RM650 sebulan.
“Rumah ini akan dilelong bila-bila masa dan semua duit caruman dari akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sudah habis digunakan untuk membayar ansuran rumah tetapi saya tetap tidak mampu kerana sudah terlalu lama tidak bekerja.
“Tunggakan demi tunggakan menyebabkan rumah ini terpaksa dilelong oleh bank dan saya hanya menunggu masa arahan keluar dari rumah ini,” katanya.
Dalam pada itu, wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Prihatin Port Dickson, Mohd. Rizal Ishak turut menyampaikan sumbangan kepada Musraini selepas mendapat maklumat mengenai kehidupan bapa tunggal itu.
“Saya bersama rakan yang lain akan sedaya upaya membantu meringankan beban Musraini memandangkan dia tidak boleh bergerak jadi kita akan cuba sedaya upaya selesaikan urusan makan minum dan keperluan lain.
“Kami juga akan membantu membersihkan kawasan rumah Musraini supaya dia tinggal dalam keadaan yang lebih selesa selepas ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 155042000097 (Musraini Mustapar Kamar). -K! ONLINE