LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan beliau bertanggungjawab atas keputusan pasukan itu tidak menyenaraikan Mesut Ozil bagi saingan Liga Perdana England (EPL) musim ini.
Tindakan The Gunners menggugurkan pemain Jerman itu nyata mengundang rasa tidak puas hati penyokongnya yang menganggap Ozil seorang pemain setia.
Bagaimanapun, Arteta berharap penyokong-penyokong Arsenal tidak menyerang pihak pengurusan, sebaliknya mengakui beliau yang mengambil keputusan berkenaan.
“Secara jujur, saya yang bertanggungjawab atas keputusan menggugurkan Ozil daripada skuad. Sekiranya ada sesiapa yang perlu dipersalahkan, sayalah individu tersebut.
“Saya perlu buat keputusan terbaik untuk pasukan bagi memastikan kami boleh memenangi perlawanan. Saya ingin berlaku adil kepada semua pemain dalam pasukan ini,” tegas Ozil.
Pada masa sama, pengendali dari Sepanyol itu tidak menghalang mana-mana penyokong untuk menyuarakan isi hati mereka sekiranya timbul sebarang masalah.
“Semua orang bebas untuk menyuarakan pendapat mereka. Sebenarnya saya sudah berlaku adil dan keputusan itu dibuat demi kepentingan pasukan ini,” ujar beliau. – AGENSI