PARIS – Penyerang Manchester United, Marcus Rashford memuji taktikal yang digunakan oleh pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer yang menyaksikan mereka berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Paris Saint-Germain di Parq des Princess awal pagi semalam.
Rashford sekali lagi menjadi wira apabila meledak gol kemenangan pasukannya sama seperti yang dilakukan pada dua edisi sebelum ini di tempat yang sama.
“Saya fikir pengurus berjaya melakukan satu percaturan yang tepat dan berkesan untuk kamu berdepan sebuah pasukan yang sempurna seperti PSG.
“Sistem yang digunakan membolehkan kami lebih bebas untuk naik ke bahagian atas untuk melakukan serangan kemudian turun bertahan dengan mantap.
“Ia adalah satu kemenangan yang besar maknanya buat kami. Daripada aspek prestasi, kami juga semakin meningkat dan dua kemenangan berturut-turut ini membuktikan kami semakin serius mencapai tahap tertinggi.
“Saya sentiasa percayakan pasukan ini, para pemain dan paling utama adalah yakin dengan taktikal yang digunakan oleh pengurus. Hari ini, kami telah melakukannya dengan cukup baik,” katanya.
Dalam pada itu, Rashford mengakui bahawa saingan tersebut masih di peringkat awal dan menjangkakan aksi yang lebih sengit selepas ini, namun percaya mereka mampu untuk melepasi halangan peringkat kumpulan.
“Ia adalah perlawanan yang sukar, terutama pada penghujungnya.
“Kami berjaya mengekalkan tahap instensiti yang tinggi. Kami juga bertahan dengan baik terutama ketika mengekang asakan pemain-pemain hebat seperti Neymar, Kylian Mbappe dan Angel Di Maria.
“Percaturan pengurus untuk melakukan pertahanan secara satu lawan satu, kami berjaya membentuk benteng yang lebih mantap dan pemain juga lebih tersusun,” katanya. – AGENSI