fbpx

‘Saya cuma mahu cari keadilan’ – Mohd. Azhar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan Mohd. Azhar menunjukkan lori tangki Ranhill SAJ yang terus ke sebuah rumah lelaki warga emas bagi menyalurkan bekalan air.

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

KLANG – Tindakan seorang lelaki menularkan video memuji syarikat pembekal air bersepadu Johor, Ranhill SAJ yang membantu menyalurkan air sehingga ke sebuah rumah warga emas baru-baru ini bukan bersifatkan memalukan sesiapa sebaliknya mencari keadilan sosial.

Mohd. Azhar Osman, 37, berkata, ini berikutan keprihatinan Ranhill SAJ terserlah dalam memudahkan lelaki warga emas itu dengan terus datang ke rumah berbanding perlu beratur di satu-satu kawasan atau pusat khidmat setempat.

“Saya tularkan video tersebut kerana menganggap tindakan Syarikat Ranhill SAJ amat terpuji. Walaupun mereka datang dari Johor tetapi mereka sanggup membantu rakyat Selangor yang tiada air dengan terus ke rumah-rumah pengguna yang terkesan.

“Bayangkan kalau lelaki warga emas itu terpaksa berulang-alik sejauh tiga kilometer pada tengah-tengah malam ketika berdepan pandemik Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Terdahulu tular video berdurasi 2 minit 12 saat memaparkan lori tangki Ranhill SAJ yang menyalurkan bekalan air terus ke sebuah rumah di sekitar Taman Sri Andalas dan mempersoalkan lori tangki Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) yang boleh bertindak sedemikian rupa di rumah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berbanding rakyat negeri ini.

Berdasarkan video tersebut, sebanyak 12 lori tangki digerakkan ke sekitar Selangor bagi membantu penduduk yang terkesan akibat gangguan air tidak berjadual bermula Isnin lalu.

Mohd. Azhar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Integrasi Nasional (PIN) memberitahu, ketiadaan bekalan air mentah lebih dari tiga kali tahun ini di negeri ini adalah sangat melampau kerana terlalu kerap.

Sehubungan itu, dia mencadangkan mewujudkan pasukan khas melibatkan penguatkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memantau aktiviti pencemaran di seluruh kawasan termasuk parit dan sistem aliran di negeri ini.

“Apa guna berbelanja besar membeli dron jika kemampuannya terhad pada waktu tertentu. Bolehkah dron memantau sisa-sisa yang dibuang semasa hujan lebat.

“Utamakan rakyat dalam segala tindakan, jangan pentingkan diri sendiri sementara rakyat tua dan muda menderita mengangkut air dari pelbagai sumber,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Muhd.Ali Zakariah berkata kerajaan negeri sewajarnya membantu rakyat Selangor terutama peniaga dari segi bantuan kewangan tambahan selain Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ramai yang tutup kedai makan kerana bekalan air tiada, begitu juga pengusaha bisnes tertentu yang mengeluh kerana PKPB untuk membendung pandemik Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI