fbpx

Rokok tiruan RM3.83 juta dirampas di Pelabuhan Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP menunjukkan rokok tiruan yang dirampas di Pelabuhan Klang, semalam.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Lebih 520,000 kotak rokok tiruan bernilai kira-kira RM3.38 juta berjaya dirampas dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang, semalam.

Pengarah Penguat Kuasa KPDHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, hasil siasatan awal mendapati, rokok tiruan yang menggunakan cap dagang ‘John’ itu diimport dari luar negara oleh sebuah syarikat yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor dan disimpan sementara di Pelabuhan Klang.

“Pemeriksaan awal ke atas wakil pihak syarikat mendapati mereka memberi alasan rokok tersebut adalah untuk tujuan dieksport semula ke luar negara.

“Bagaimanapun pemeriksaan yang dilakukan terhadap ciri fizikal kotak rokok tersebut amat meragukan dan disyaki untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Iskandar Halim berkata, operasi itu dijalankan hasil daripada maklumat dan risikan daripada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekalkan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

Kes juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, jika ia dilakukan suatu pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua.

Manakala, jika ia dilakukan bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Iskandar berkata, pihaknya memberi amaran kepada individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

“Mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang
dikuatkuasakan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI