RIYADH – Seorang putera Arab Saudi yang koma selama hampir 15 tahun memberi harapan baharu buat keluarganya apabila beliau menggerakkan dua jarinya pada minggu ini.
Dalam satu rakaman video yang tular di Twitter, seorang individu menyapa Putera Al-Waleed bin Khalid Al-Saud, 33, yang terlantar di katil dan meminta beliau menggerakkan jarinya, lapor portal berita The New Arab.
“Hello,” sapa individu tersebut sambil merakam jari Al-Waleed yang mula bergerak.
“Bagi saya lihat, angkat jari anda lebih tinggi,” kata individu tersebut manakala jari Alwaleed yang digelar ‘Putera Tidur’ digerak semakin tinggi.
Perkembangan itu memberikan sinar harapan kepada bapanya, Putera Khalid yang juga seorang taikun perniagaan.
Al-Waleed yang terlibat dalam satu kemalangan ngeri di London pada 2005, bergantung kepada mesin sokongan hayat selepas doktor mengesahkan dia mengalami pendarahan serius di dalam otak.
Putera Khalid dan isteri, Puteri Mona Riad El Solh enggan menghentikan mesin sokongan hayat pada anak mereka kerana yakin beliau akan sedar satu hari nanti.
Pada Januari tahun ini, kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa mengisytiharkan Al-Waleed dianggap sudah meninggal dunia apabila paru-parunya mengalami pendarahan tidak terkawal.
Kali terakhir Al-Waleed menggerakkan anggota badannya adalah pada 2015. – Agensi