Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
KEMAMAN – Polis menafikan dakwaan kononnya sebuah klinik swasta di Chukai di sini telah dikunjungi seorang pesakit yang disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dakwaan yang tular menerusi aplikasi WhatsApp berkenaan adalah tidak benar.
“Saya nafikan dakwan klinik swasta tersebut pernah dikunjungi individu disahkan positif Covid-19.
“Sekiranya benar dakwaan itu, sudah pasti ia akan di sanitasi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan juga kesal dengan tindakan bertanggungjawab segelintir pihak yang telah menyebarkan berita palsu berkenaan.
Ujar beliau, perbuatan tersebut telah menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat setempat khususnya yang menetap di sekitar Chukai.
Sementara itu, usaha Kosmo! untuk mendapat penjelasan pengurusan klinik berkenaan yang kebetulan menutup operasi premisnya semalam setakat ini masih belum berhasil. – K! ONLINE