KUALA LUMPUR – Permintaan untuk sarung tangan dijangka akan terus mengukuh sehingga tahun 2022, menurut nota kajian yang dikeluarkan MIDF Research semalam.
Firma penyelidik itu berkata, harga purata jualan (ASP) sarung tangan juga diunjurkan kekal tinggi tahun depan, berdasarkan jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 yang terus meningkat di peringkat global.
“Jumlah kes baharu seluruh dunia telah melebihi 400,000 (sehari) dengan kebanyakan ekonomi telah dibuka semula.
“Bilangan kes dijangka kekal tinggi memandangkan ekonomi tidak mampu untuk melaksanakan semula perintah berkurung dan sarung tangan akan terus digunakan sebagai alat keselamatan dan pencegahan.
“Kami menjangkakan ASP akan kekal tinggi pada tahun kewangan 2021, dengan pengendalian vaksin untuk Covid-19 juga memerlukan penggunaan sarung tangan,” katanya.
Sementara itu, dalam nota kajiannya bagi sektor automotif, MIDF Research berkata, pengeluar kereta nasional terus merekodkan pencapaian memberangsangkan, dengan Perodua merekodkan pertumbuhan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 48 peratus tahun ke tahun kepada 25,035 unit pada September.
Proton turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 37 peratus tahun ke tahun kepada 11,875 unit.
“Pertumbuhan disokong kempen dan promosi berterusan oleh pemain industri selain pengecualian cukai jualan kenderaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
“Kami bagaimanapun mengurangkan unjuran TIV 2020 kepada 522,927 unit berbanding 554,000 sebelum ini, setelah mengambil kira kelewatan pelancaran kenderaan utiliti sukan segmen B Perodua dan dua model pemasangan tempatan Toyota yang ditangguhkan kepada tahun depan,” katanya.