fbpx

Menyamar pengurus urusan pasar raya untuk tipu menangi kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Yazid (tengah) menunjukkan suspek yang berjaya ditangkap pihaknya dan meminta orang ramai yang ditipu untuk membuat laporan polis bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. FOTO: ZULFADHLI ZAKI.

SHAH ALAM – Taktik licik seorang penganggur yang menyamar sebagai pengurus besar rangkaian pasar raya di negara ini dengan menipu mangsa memenangi kereta, tumpas selepas diberkas di Jalan Johor, Pelabuhan Klang di sini baru-baru ini.

Penahanan suspek lelaki berusia 41 tahun itu dilakukan pukul 2 petang pada 17 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, berdasarkan siasatan suspek bergerak aktif secara solo sejak dua bulan lalu dengan menyasarkan kelompok lelaki warga emas berusia 65 hingga 70 tahun.

Katanya, mangsa akan didekati sebaik selesai membeli barangan daripada pasar raya secara bersendirian dengan kegiatan dilakukan di antara pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.

“Suspek yang berpakaian kemas itu akan memperkenalkan diri sebagai pengarah urusan dengan nama Desmond Leedengan memberikan kadnya sebelum menyatakan mangsa memenangi kereta jenis Toyota Vios atau Avanza.

“Mangsa yang terperdaya akan dibawa oleh suspek menaiki keretanya sebelum diminta kad kredit atau debit bersama nombor pin dan lesen memandu untuk tujuan salinan bagi menuntut hadiah kereta. Sebaik memperolehi kesemua itu, mangsa akan ditinggalkan di satu-satu kawasan dan diminta menunggu suspek,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, berdasarkan hasil siasatan mendapati suspek terlibat di tujuh buah daerah iaitu Ampang Jaya, Klang Selatan, Klang Utara, Serdang, Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya melibatkan 46 mangsa dengan nilai kerugian RM456. 542.54.

Difahamkan nilai kerugian bagi seseorang mangsa di antara RM50 hingga RM80,000.

“Kita berjaya merampas 32 keping kad mesing pengeluaran wang automatik dan 10 keping kad kredit dan debit, 58 keping kad perniagaan tertera nama Desmond Lee dan enam lesen memandu milik mangsa.

“Semakan rekod mangsa pernah dipenjarakan selama tujuh tahun bermula 2008 mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan selain terlibat dalam kes menceroboh yang disiasat mengikut Seksyen 448,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Yazid turut meminta orang ramai yang pernah ditipu oleh suspek untuk hadir membuat laporan bagi melengkapkan kertas siasatan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI