Oleh SHAARANI ISMAIL
IPOH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk kerang dan siput barai laut dari Indonesia.
Hasil laut berkenaan ditemuinketika pemeriksaa di Pintu Masuk Maqis Pelabuhan Lumut, semalam.
Pengarah Maqis Perak, Rozita Superman berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, pihaknya mendapati kerang dan siput barai laut itu diletakkan dalam tong yang sama yang berisi dengan ikan.
“Kerang dan barai laut berkenaan diletakkan di bahagian bawah timbunan ikan bagi mengaburi mata pegawai penguatkuasa Maqis .
“Pemeriksaan mendapati, kerang berkenaan telah mati dan masih tercemar dengan lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rozita berkata, kerang dan barai laut yang cuba dibawa masuk itu tidak mempunyai Permit Import sah yang dikeluarkan oleh Maqis .
Katanya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import dikeluarkan Maqis adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
Beliau berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau keduanya sekali.
“Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan di pintu masuk negara dengan teliti untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.
“Keseluruhan hasil laut yang dirampas adalah seberat kira-kira 65 kilogram dan dianggarkan bernilai RM580,” katanya. – K! ONLINE