fbpx

K2

Makanan Tradisi di Museum Signature Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HIDANGAN pastri turut dijual di restoran ini bagi memberi pilihan pencuci mulut kepada pelanggan.

RESTORAN Museum Signature yang terletak bersebelahan Muzium Negeri Kedah menjadi antara lokasi makan-makan yang menarik di bandar raya Alor Setar.

Kedudukannya di tepi Sungai Kedah membolehkan pengunjung menjamu selera sambil menikmati pemandangan indah kawasan sungai tersebut.

Lebih menarik, restoran yang diusahakan Noorzaharudin Syah Zakaria, 41, ini menampilkan kelainan dengan menyuntik elemen warisan Negeri Jelapang Padi itu.

Mengenai sajian yang ditawarkan pula, 80 peratus adalah hidangan warisan daripada resipi turun temurun.

Pekerjanya pula mengenakan pakaian tradisi yang mana lelaki berbaju Melayu dan tengkolok, manakala wanita berbaju kurung Kedah dengan kain batik.

Noorzaharudin atau lebih dikenali sebagai Eric Syah berkata, beliau mula bertapak secara serius dalam bidang perniagaan makanan apabila memulakan perniagaan restorannya pada 2 Januari lalu.

 

RUANG dalaman restoran Museum Signature Kedah di Alor Setar yang terletak bersebelahan muzium negeri.

 

“Saya merupakan pencinta makanan warisan, justeru saya ambil itu sebagai inspirasi. Ia secara tidak langsung dapat terus memartabatkan makanan warisan Kedah,” katanya ketika ditemui di restorannya itu baru-baru ini.

Kata beliau, lebih 50 hidangan istimewa termasuk masakan Barat ditawarkan kepada pengunjung.

“Hidangan warisan yang menjadi tarikan di restoran ini antaranya gulai ikan temenung (kembung), keli cabai merah serta asam pedas lamb shank yang merupakan makanan Barat yang diubah suai mengikut cita rasa warisan Melayu.

“Selain itu, salah satu hidangan unik yang kita tawarkan adalah set santapan bangsawan kerana ia dihidangkan dalam talam mengandungi pelbagai jenis nasi dan lauk seperti gulai, ikan serta ulam-ulaman pada harga antara RM40 hingga RM120,” ujarnya.

 

SET santapan bangsawan adalah menu signatur di restoran ini mengandungi pelbagai jenis nasi dan lauk seperti gulai, ikan serta ulam-ulaman.

 

Menurut Eric Syah, harga bagi setiap hidangan set yang ditawarkan adalah berpatutan iaitu serendah RM9.90 bagi set gulai ikan puyu pisang muda hingga pelbagai jenis set pada harga maksimum RM120.

“Restoran ini juga menerima ramai pengunjung pada waktu pagi yang mahu menikmati hidangan secara bufet pada harga hanya RM10 seorang,” ujarnya.

Bagi menambahkan lagi pilihan makanan, kata beliau, restoran memperkenalkan hidangan pastri sejak sebulan yang lalu dan antara juadahnya adalah piza, kek dan roti burger yang dihasilkan sendiri.

 

KEISTIMEWAAN burger di Museum Signature Kedah ini adalah roti yang dihasilkan sendiri pemiliknya.

 

Tambahnya, pihak restoran juga menerima tempahan katering untuk majlis kenduri seperti perkahwinan dan sambutan hari lahir daripada pelanggan.

“Setiap bulan, pasti ada pengunjung yang akan membuat tempahan untuk majlis keraian kerana kawasan restoran ini sesuai dan luas selain harga yang dikenakan juga berpatutan,” katanya.

Sementara itu, pelanggan tetap restoran berkenaan, Zaheera Zainudin, 23, berkata, dia menjadikan restoran Museum Signature sebagai pilihan utamanya untuk menjamu selera.

“Saya suka makan di sini kerana juadah yang dihidangkan sedap dan ia memenuhi cita rasa dan selera saya,” katanya.

Katanya lagi, harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan, selain saiz hidangan besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI