BARCELONA – Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman percaya pasukannya memiliki potensi yang cerah untuk menamatkan kemarau kejuaraan Liga Juara-Juara selepas menewaskan wakil Hungary, Ferencvaros 5-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan G di Camp Nou awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, Barcelona berjaya menjaringkan gol menerusi lima penjaring berbeza, Lionel Messi, Ansu Fati, Philippe Coutinho, Pedri dan Ousmane Dembele tetapi ditimpa malang apabila Gerard Pique dilayangkan kad merah pada babak kedua.
Kata Koeman, anak-anak buahnya telah beraksi dengan cemerlang selain berjaya mencipta sejarah menjadi pasukan pertama Liga Juara-Juara Eropah yang memiliki dua penjaring berusia bawah 17 tahun menerusi Fati dan Pedri.
“Pemain telah mengikut taktikal dan strategi yang telah saya tetapkan dan saya sangat berpuas hati dengan apa yang mereka pamerkan sepanjang 90 minit perlawanan. Apa yang pasti, saya tabik dengan barisan pemain muda kami seperti Fati dan Pedri yang begitu tenang di atas padang.
“Namun, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki kerana selepas ini kami akan bertemu dengan lawan yang lebih sukar, Real Madrid dalam aksi La Liga dan saya tidak mahu pemain terlalu gembira dengan kemenangan ini,” katanya.
Sementara itu, Koeman turut mempertahankan keputusannya untuk tidak memasukkan pemain kontroversi, Antoinne Griezmann yang hanya diletakkan di bangku simpanan sepanjang perlawanan itu.
“Kita akan mengharungi banyak perlawanan pada musim ini dan mungkin Griezmann akan kembali beraksi pada saingan seterusnya. Apa yang penting, saya mahu dia mendapat rehat yang cukup dan bersedia apabila khidmatnya diperlukan,” katanya. –AGENSI