KUNDUZ, Afghanistan – Satu serangan udara oleh tentera Afghanistan menyebabkan seramai 11 kanak-kanak dan seorang imam di sebuah masjid terbunuh, menurut pihak berkuasa tempatan. Kabul menyangkal keterangan itu.
Serangan ke atas satu perkampungan di wilayah Takhar semalam berlaku pada ketika tentera keselamatan Afghanistan bertempur dengan satu kumpulan dipercayai Taliban, kata jurucakap polis wilayah, Khalil Aseer.
“Serangan udara dibuat semasa semua mangsa sibuk mengaji al-Quran,” kata Khalil yang menyatakan seorang imam dan 11 murid terbunuh.
Beliau menyatakan, seramai 14 lagi murid cedera dalam serangan itu.
Jurucakap gabenor wilayah, Mohammad Jawad Hejri juga menyatakan serangan itu mengorbankan kanak-kanak.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan yang mengesahkan serangan itu dilakukan oleh Tentera Udara Afghanistan menafikan ada orang awam terkorban.
“12 anggota Taliban termasuk komander mereka terbunuh,” menurutnya.
Naib Presiden Afghanistan, Amrullah Saleh menyatakan berita mengenai kanak-kanak meninggal dunia di sebuah masjid ‘adalah tidak berasas’.
“Mereka yang menyebarkan khabar angin akan diambil tindakan,” katanya di Facebook.
Kementerian Pertahanan menyatakan pihaknya sudah melantik satu kumpulan untuk melakukan siasatan.
“Pihak musuh mengebom masjid pada ketika ramai kanak-kanak sedang sibuk mengaji,” menurut Taliban dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu juga mendakwa serangan udara itu turut memusnahkan masjid berkenaan. – AFP