Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KANGAR – Seorang ibu tunggal didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menawarkan khidmat seks di sebuah rumah di Behor Temak di sini pada 16 Oktober lalu.
Tertuduh yang berusia 37 tahun dan bekerja sebagai tukang urut di sebuah spa mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar wang jaminan tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menawarkan khidmat seks bagi maksud persundalan di sebuah rumah di Taman Jaya Diri, Behor Temak pada pukul 11.20 malam, 16 Oktober lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, ketika prosiding, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Wan Nursyaheedah Wan Najmi yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan terhadap wanita terbabit kerana dia hanya bekerja sebagai tukang urut serta terpaksa menyara tujuh anak berusia tiga hingga 17 tahun.
Sementara itu, dalam kes berasingan, dua lelaki masing-masing didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan khidmat seks kepada dua lelaki di sebuah hotel di sini pada Isnin lalu.
Tertuduh, Jamil Karim, 30, dan Mahmud Mading, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md Zain. Mereka membayar denda dikenakan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, kedua-dua lelaki terbabit didakwa menawarkan khidmat seks bagi maksud persundalan di dua bilik berasingan di sebuah hotel pada pukul 11 malam, Isnin lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam YBGK, Wan Nursyaheedah dan Nur Diyana Ab. Shukor. – K! ONLINE