fbpx

Gagal seludup 100 kg daun ketum ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APMM merampas bungkusan hitam mengandungi 100 kg daun ketum yang mahu diseludup ke Thailand melalui perairan Kuala Perlis pada pagi tadi.

Oleh NUR NAZLINA NADZARI

KUALA PERLIS – Cubaan seorang tekong untuk menyeludup 100 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM3,000 ke Thailand berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Perlis di sini hari ini.

Bot kayu dinaiki tekong tersebut ditahan bot peronda APMM dalam Op Khas pada kedudukan 0.1 batu nautika dari muara Kuala Perlis kira-kira pukul 6.50 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya mengesan sebuah bot yang sedang menuju ke sempadan perairan Malaysia-Thailand dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bertindak melarikan diri dengan menukar haluan ke daratan berhampiran.

“Bot peronda APMM bagaimanapun berjaya memintas dan menahan bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, tekong bot kayu itu kemudian bertindak terjun ke dalam laut dan berenang menuju ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemui bungkusan hitam disyaki mengandungi daun ketum seberat 100 kg yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” ujarnya.

Tambahnya, selain ketum, pihaknya turut merampas sebuah bot kayu berserta enjin sangkut bergalah dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM5,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI