fbpx

Bekalan elektrik di dua premis judi haram di Manjung dipotong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan TNB memotong salah satu premis yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian haram dalam operasi khas di daerah Manjung semalam.

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Bekalan elektrik dipotong di dua premis yang dikenal pasti melakukan aktiviti perjudian dalam talian, dalam satu operasi khas di sekitar daerah Manjung di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, ia membabitkan dua premis di lokasi berlainan yang dikenal pasti menjalankan perjudian loteri tanpa lesen di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Premis pertama adalah sebuah kedai telekomunikasi beralamat di Seri Manjung dan ia pernah diserbu oleh polis sebanyak 10 kali sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, premis kedua adalah sebuah kedai runcit beralamat di Taman Mas Kampung Koh, Sitiawan dan premis itu telah dikenakan tindakan oleh polis sebanyak lima kali atas kesalahan sama sebelum ini.

Katanya, operasi dari pukul 3.30 hinggga 5 petang di sekitar kawasan pentadbiran Balai Polis Sitiawan itu disertai pegawai-pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama dua kakitangan Tenaga Nasional (TNB) Seri Manjung.

Beliau berkata, mulai 1 Januari lalu hingga semalam, sebanyak 10 premis telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik di daerah Manjung.

“IPD Manjung tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan premis yang menjalankan aktiviti perjudian haram.

“Pemotongan bekalan elektrik ke atas premis perjudian haram akan dilaksanakan secara komprehensif dan berterusan dalam membanteras kegiatan ini,,” katanya.

Nor Omar mengingatkan semua pemilik premis yang masih terus berdegil menjalankan kegiatan perjudian haram agar menghentikannya dengan segera kerana tindakan berterusan akan diambil bagi memastikan daerah Manjung bersih daripada aktiviti tidak bermoral itu.

Katanya, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat tentang aktiviti perjudian seperti itu amat dihargai dan diharapkan akan berterusan pada masa-masa akan datang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI