fbpx

Bantu remaja, kanak-kanak uruskan emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR IDAYU BOSRO
WARTAWAN EKSEKUTIF

Pada 10 Oktober lalu, Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut dengan tema Sayangi Nyawa, Hidupkan Harapan.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada 2019 mendapati hampir sete­ngah juta penduduk di negara ini mengalami kemurungan.

Kajian NHMS pada 2017 juga mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 13 dan 17 tahun me­nunjukkan peningkatan trend bagi prevalen idea bunuh diri iaitu 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012.

Situasi tersebut tidak boleh dipandang ringan khususnya dalam keadaan semasa di mana seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 mengakibatkan krisis kesihatan yang turut memberi kesan kepada kesihatan mental individu.

Rata-rata masyarakat terkesan emosi seperti kebimbangan, ketakutan, pengasingan, ketidakpastian serta tekanan perasaan akibat perubahan dalam norma kehidupan.

Dalam konteks ini, kanak-kanak dan remaja juga berdepan cabaran kerana sebahagian besar golongan itu belum mampu menguruskan tekanan emosi dengan baik.

Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Permai Johor Bahru, Dr. Nor Rahidah Abd. Rahim berkata, kanak-kanak dan remaja yang mengalami tekanan lebih cenderung mengasingkan diri, mengabaikan keperluan mereka seperti mandi, makan dan tidur selain menunjukkan kemerosotan dalam pelajaran.

“Simptom lain termasuklah mengalami simptom kemuru­ngan dan keresahan seperti kerap menangis, rasa letih, tidak boleh menumpukan perhatian dalam pelajaran dan selalu risau.

“Jika simptom ini semakin teruk, di samping mempunyai isu seperti ingin membunuh diri, mengalami halusinasi serta bertindak agresif, mereka perlu dibawa berjumpa dengan doktor atau pakar dengan segera,” katanya.

Nor Rahidah turut menasihatkan ibu bapa agar mengamalkan komunikasi terbuka dengan anak-anak mereka.

“Ibu bapa harus mendengar dan menyediakan situasi yang sesuai untuk berkomunikasi dan mengetahui emosi anak masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kanak-kanak kekurangan kemahiran untuk mengurus perasaan akibat interaksi sosial yang terhad.

Katanya, dalam hal ini ibu bapa boleh untuk membantu melengkapi kemahiran yang di­sekat kerana kekangan interaksi sosial di alam maya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, masyarakat harus tidak menghukum dan lebih terbuka membicarakan isu kesihatan mental seperti kemurungan dan tidak menganggapnya sebagai kes-kes terpencil.

“Keseriusan sesetengah kes, terutamanya yang melibatkan kehilangan nyawa seharusnya memberi isyarat yang jelas untuk semua pihak bertindak dengan segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI