PARIS – Jurulatih Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel menganggap aksi ketika tewas 1-2 kepada Manchester United awal pagi semalam adalah yang terburuk dipamerkan oleh skuad kendaliannya.
PSG terpaksa menerima hakikat kekalahan selepas Marcus Rasford meledak gol kemenangan United kira-kira tiga minit sebelum perlawanan berakhir sekali gus menyaksikan gergasi Perancis itu mengulangi skrip musim lalu apabila tewas pada aksi pertama saingan Liga Juara-Juara.
Turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama seperti Marquinhos dan Marco Verratti menyaksikan United berjaya mengambil kesempatan apabila berada di depan pada minit ke-23 menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes.
Namun, PSG kembali menyamakan kedudukan pada babak kedua perlawanan selepas pemain United, Anthony Martial tertanduk bola ke gawang sendiri.
“Pada separuh masa pertama kami gagal mendapat rentak. Ia bukan tahap sebenar kekuatan yang kami ada.
“Semuanya seperti tidak menjadi, pergerakan bersama bola, kedudukan pemain, cara kami membuat serangan balas pantas, intensiti dan bagaimana kami mencabar pemain lawan tidak seperti yang selalu kami lakukan.
“Ia sepatutnya tidak berlaku sebegitu, kami hanya ketinggalan satu gol dan mampu bermain dengan baik di babak kedua.
“Kami cuba melakukan perubahan taktikal kerana kecederaan Idrissa Gueye dengan memasukkan pemain di bahagia serangan tetapi inilah harga yang terpaksa kami bayar apabila bolos pada penghujung perlawanan,” jelasnya. – AGENSI