HANOI – Lebih 100 orang disahkan terbunuh manakala 20 lagi hilang di kawasan tengah Vietnam susulan cuaca hujan sejak beberapa minggu lalu yang mencetuskan tanah runtuh dan banjir, kata pihak berkuasa semalam.
Hampir 178,000 buah kediaman sudah ditenggelami air banjir, menurut Pertubuhan Bulan Sabit Merah dan Persekutuan Palang Merah Anatarabangsa pada ketika barisan penyelamat cuba menyampaikan bekalan air serta makanan kepada mangsa-mangsa bencana.
Beberapa jalan raya, infrastruktur dan sejumlah ladang tanaman di wilayah tengah turut musnah akibat bah, menurut pertubuhan bukan kerajaan yang memberi amaran bahawa beratus-ratus penduduk akan berdepan masalah ketiadaan tempat tinggal serta pendapatan tidak lama lagi.
Presiden Pertubuhan Palang Merah Vietnam, Nguyen Thi Xuan Thu berkata, kejadian banjir itu adalah antara yang paling buruk pernah disaksikan dalam tempoh beberapa dekad lalu.
Setakat ini, seramai 111 orang dilaporkan terbunuh dan 200,000 lagi terpaksa dipindahkan, menurut pihak berkuasa pengurusan bencana.
Antara yang terkorban ialah 22 anggota tentera yang tertimbus akibat kejadian tanah runtuh besar pada Ahad lalu di wilayah Quang Tri.
Selain itu, 13 lagi anggota penyelamat maut semasa mereka cuba menyelamat sekumpulan pekerja yang terperangkap dalam runtuhan tanah di sebuah loji hidrokuasa.
Satu pasukan mencari lain masih berusaha menjejak 15 pekerja loji berkenaan yang dilaporkan masih hilang semasa insiden tanah runtuh sama.
Air banjir mula surut di beberapa kawasan tetapi banyak kawasan perkampungan di beberapa wilayah masih ditenggelami air termasuk sebuah hospital di Quang Binh.
Vietnam dijangka berdepan cuaca buruk pada hujung minggu ini pada ketika Ribut Saudel bergerak dari kawasan terbuka Laut China Selatan.
Negara itu akan berdepan cuaca buruk musim hujan antara bulan Jun dan November, dengan kerosakan besar berlaku di kawasan tengah wilayah pesisir pantai.
Tahun lalu, lebih 130 orang dilaporkan mati atau hilang akibat bencana alam di Vietnam, menurut Pejabat Statistik Awam.
Kemboja juga terjejas teruk akibat bah sejak beberapa minggu lalu dengan jumlah korban sudah mencecah 34 orang setakat semalam dan 400,000 lagi terjejas, kata Perdana Menteri Hun Sen.
Wilayah barat laut, Banteay Meanchey juga menyaksikan banjir paling buruk sepanjang tempoh 70 tahun, katanya. – AFP