fbpx

11 wanita korban tragedi rempuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa waris keluarga membawa mayat mangsa korban dalam keranda di luar sebuah rumah mayat di bandar Jalalabad semalam. - AFP

JALALABAD, Afghanistan – Sekurang-kurangnya 11 wanita terbunuh dalam tragedi rempuhan di sebuah stadium bola sepak di Afghanistan semalam semasa beribu-ribu orang hadir untuk memohon Visa Pakistan, kata pihak berkuasa.

Insiden itu berlaku di stadium di bandar Jalalabad, wilayah Nangarhar semasa orang ramai berkumpul untuk mendapatkan kebenaran perjalanan selepas sebuah pejabat konsulat Pakistan menyambung kembali perkhidmatan selepas tujuh bulan tergendala akibat pandemik Covid-19.

Bagi mengelakkan orang ramai di pusat permohonan visa, pemohon diminta ke satu stadium bola sepak di Jalalabad untuk menyerahkan pasport dan dokumen berkaitan, kata jurucakap gabenor wilayah, Attaullah Khogyani.

“Malangnya, pagi ini beribu-ribu orang hadir ke stadium bola sepak yang membawa kepada insiden tragis ini,” katanya.

Attaullah dan jurucakap hospital wilayah, Zaher Adel menyatakan jumlah terkorban adalah seramai 11 wanita.

Ahli majlis wilayah Nangarhar, Naser Kamawal pula menyatakan seramai 15 orang terbunuh dan 15 lagi cedera.

Sekumpulan wanita berusia berkumpul di pintu masuk sebuah stadium bola sepak sebelum tragedi rempuhan. – AFP

Seorang saksi, Abdul Ahad mendakwa wanita diberi keutamaan untuk berdiri di hadapan orang ramai.

“Sebaik sahaja pegawai mengumumkan pagar akan dibuka pagi ini, semua orang meluru masuk ke stadium untuk menjadi antara yang pertama menyerahkan pasport masing-masing,” kata Abdul.

“Kumpulan wanita, sebahagian besar sudah berusia, yang berada di depan terjatuh dan tidak berdaya untuk bangun. Keadaan sememangnya kecoh.”

Seorang wanita yang terselamat dalam rempuhan itu mendakwa terdengar jeritan dan melihat bakal ibu antara yang dipijak semasa rempuhan itu.

“Ada yang mengalami keguguran. Salah seorang yang dipijak kemudian melahirkan anak di situ. Kami membantunya tetapi bayinya sudah meninggal dunia. Wanita itu selamat,” katanya yang enggan mendedahkan namanya.

Orang ramai berkumpul untuk memohon Visa Pakistan di sebuah stadium bola sepak di Jalalabad semalam. – AFP

Kedutaan Pakistan di Kabul menyatakan pihaknya berasa sedih dengan kejadian itu.

“Kami meminta pemahanan dan kerjasama rakyat Afghanistan dan pihak berkuasa untuk pengurusan keselamatan yang lebih baik bagi pemohon-pemohon visa,” menurut kedutaan itu.

Beribu-ribu rakyat Afghanistan dari Nangarhar dan wilayah berhampiran tiba awal pagi untuk memohon visa perubatan atau melawat saudara-mara.

Beratus-ratus anggota polis dikerah ke stadium untuk mengawal orang ramai.

Beberapa jam selepas insiden, ahli-ahli keluarga dilihat membawa pulang mayat dalam keranda dari sebuah rumah mayat di Jalalabad.

Ramai warga Afghanistan melakukan perjalanan ke Pakistan setiap tahun untuk tujuan perubatan, pendidikan dan mencari perlindungan susulan konflik serta kemiskinan sejak beberapa dekad lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI