Oleh SYALMIZI HAMID
SEBERANG PERAI – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang ibu tunggal yang dilaporkan menghilangkan diri dari rumahnya dekat Jalan Teluk Ipil, Sungai Che Isa, Nibong Tebal di sini sejak tahun lalu.
Warga emas itu, Mariyah Ayob, 62, yang mempunyai penyakit lupa ingatan, nyanyuk dan sawan disedari hilang dari rumah oleh anaknya kira-kira pukul 1 petang pada 5 Mei tahun lalu.
Jurucakap polis berkata, anak mangsa telah membuat laporan polis berhubung kehilangan ibunya itu kerana bimbang tentang keselamatannya.
“Anak mangsa memaklumkan bahawa ibunya keluar dari rumah sehelai sepinggang tanpa membawa beg pakaian, dokumen penting seperti kad pengenalan serta tidak mempunyai telefon bimbit.
“Kini sudah lebih setahun mangsa menghilangkan diri dan ia menyebabkan anak-anaknya bimbang dan terus mencari,” kata jurucakap itu kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa diminta menghubungi Penolong Ketua Polis Balai Nibong Tebal, Sarjan Mejar Surati Attan di talian 04-5829404 atau 017-4931983. – K! ONLINE