BATU PAHAT – Seekor ular sawa batik sepanjang enam meter berjaya ditangkap sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng dalam kejadian di Kampung Parit Arshad, Parit Awang di sini petang semalam.
Komander Operasi BBP Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Nizam Aresat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.52 petang.
Menurutnya, seramai sembilan anggota bersama dua buah jentera dihantarkan ke lokasi kejadian.
“Kita menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.52 petang daripada seorang penduduk yang mendakwa ada seekor ular sawa di halaman rumahnya.
“Sejurus Pasukan Keluaran Operasi (PKO) sampai ke tempat kejadian memang benar ada seekor ular sawa batik sepanjang 20 kaki berada di kawasan rumah pengadu,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Khairul berkata, PKO berjaya menangkap reptilia itu dengan menggunakan alat penjerut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, operasi ditamatkan pada pukul 6.30 petang.-K! ONLINE