Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
KUALA LANGAT – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil pendekatan mengedarkan 150 unit cecair penyahkuman buatan mereka kepada empat penerima di daerah ini.
Penerima itu melibatkan Klinik Kesihatan Sijangkang, Klinik Kesihatan Teluk Panglima Garang, Pusat Pengumpulan Hasil Ladang Jalan Waja dan Sekolah Rendah Intergrasi Teras Islam Sijangkang.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Prof. Dr. Nazip Suratman berkata, sumbangan tersebut adalah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UiTM dalam memudahkan proses nyahkuman secara kendiri oleh barisan hadapan seperti kakitangan klinik.
Katanya, cecair nyahkuman itu adalah edisi ketiga dikeluarkan pihaknya.
“Kesemua sumbangan cecair penyahkuman itu diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan dihasilkan dengan kerjasama fakulti-fakulti di UiTM.
“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri menyebabkan barisan hadapan perlu bekerja lebih keras untuk memastikan urusan pemeriksaan kesihatan orang ramai dapat diuruskan dengan sempurna,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Klinik Kesihatan Sijangkang hari ini.
Turut hadir adalah Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Daerah Kuala Langat merangkap Pengerusi Klinik Kesihatan Sijangkang, Dr. Abdul Razak Khasbullah dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Dr. Wan Ahmad Azman Wan Abdul Salim.
Mengulas lanjut, Nazip menjelaskan kerjasama akan dijalankan bersama pemain industri bagi penghasilan komersial cecair penyahkuman tersebut.
“Kita juga dalam mengorak langkah kerjasama dengan pihak swasta dalam menghasilkan alat pelindung muka plastik selaras bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya. -K! ONLINE