DIABETES ataupun kencing manis bukanlah satu masalah baru yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat di negara ini.
Dianggarkan seorang daripada lima orang dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang yang berusia lebih 18 tahun di Malaysia telah disahkan menghidapi diabetes.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, kadar kelaziman diabetes dalam kalangan orang dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas telah meningkat kepada 18.3 peratus pada 2019 berbanding hanya 13.4 peratus pada 2015.
Pola peningkatan ini hakikatnya sesuatu yang membimbangkan dan antara faktor penyumbang kepada peningkatan ini ialah kebanyakan orang di Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan ataupun obesiti.
Gaya hidup kurang sihat seperti diet kurang baik, kurang cergas dan tidak mengambil langkah pencegahan adalah antara punca utama pesakit menghidap diabetes.
Tambahan lagi, diabetes juga boleh menimbulkan pelbagai kerumitan kritikal yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan penghidap.
Kerumitan ini antara lain termasuk strok, buta, kegagalan buah pinggang, amputasi iaitu pemotongan anggota badan dan penyakit kardiovaskular.
Pakar Runding Kardiologi Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr. Azahari Rosman, menjelaskan, mereka yang menghidap diabetes berkemungkinan lebih tinggi mengalami penyakit kardiovaskular awal jika tidak diuruskan dengan sewajarnya.
“Pesakit perlu mendapatkan bantuan kerana statistik mendapati bahawa penyakit kardiovaskular merupakan punca kematian mereka yang menghidap diabetes di Malaysia.
“Masalah ini kian serius kerana semakin ramai pesakit muda disahkan menghidap diabetes dan penyakit kardiovaskular juga pada usia yang lebih muda,” katanya.
Jika pesakit tidak mengurus penyakit mereka, paras gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan plak terkumpul akan menyekat dan merosakkan saluran yang membawa darah ke dan dari jantung.
Ini menyebabkan kekurangan oksigen dan nutrien, yang boleh menyebabkan serangan jantung dan kematian.
Pencegahan ialah satu aspek penting untuk mengurangkan beban penyakit dan kerumitan berkaitan diabetes ini boleh dicegah dengan pengurusan yang sewajarnya seperti pengawalan tahap glukosa, tekanan darah dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat, bersenam dengan kerap, memantau paras glukosa darah serta mengambil ubat preskripsi sekiranya perlu.
Dalam pada itu, Pakar Runding Endokrinologi, Dr. Chan Siew Pheng menjelaskan, pengurusan diabetes telah berkembang maju pada masa ini.
“Untuk menangani beban penyakit yang semakin meningkat dan rawatan diabetes juga terus bertambah baik, pesakit hanya perlu membuat rawatan sekali seminggu berbanding beberapa kali dalam sehari.
“Terdapat juga inovasi rawatan baharu yang disediakan di pasaran seperti kelas ubat suntikan GLP-1 RA yang bukan sahaja boleh mengurangkan paras glukosa darah tetapi juga membantu menguruskan kerumitan lain berkaitan diabetes seperti penyakit kardiovaskular dan kegemukan. Teknologi berjaya bantu pesakit diabetes,” jelasnya.