Oleh YATIMIN ABDULLAH
PASIR MAS – Penahan dua lelaki oleh anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan berjaya merungkai kes kecurian sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dilaporkan hilang di tepi jalan berhampiran Masjid Muhammadi, Rantau Panjang pada Isnin lalu.
Dua lelaki itu ditahan anggota Aksem pada pukul 7.30 pagi selepas memandu kereta jenis Honda Civic dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kedua-dua suspek berusia 46 dan 37 tahun itu mengaku telah mencuri pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero itu selepas soal siasat dijalankan terhadap mereka.
Menurutnya, Aksem mengesyaki mereka terlibat dalam kes curi kenderaan itu selepas gambar berkait kes mencuri pacuan empat roda turut ditemui dalam telefon bimbit milik salah seorang suspek.
Katanya, susulan daripada soal siasat itu, polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Kenerak pada pukul 12.45 tengah hari pada hari yang sama sebelum menemui dua lagi suspek yang berada di situ.
“Kedua-dua suspek yang ditangkap oleh Aksem mengaku mencuri kenderaan tersebut dengan cara mengumpil pintu dan kemudian menyambungkan wayar pada bahagian suis.
“Bagaimanapun, dua lelaki yang berada di dalam rumah berkenaan mengaku tidak terlibat dalam kes tersebut. Salah seorangnya yang merupakan pemilik rumah itu mengesahkan bahawa kenderaan itu telah dihantar oleh kedua-dua suspek ke rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Roy, polis turut menemui satu paket lutsinar dipercayai dadah jenis syabu dalam pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero itu.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah Methampethamine selain mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurutnya, polis berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh tujuh jam.
Tambahnya, selain dua suspek, tiga lagi suspek berusia antara 25 hingga 28 tahun ditahan untuk membantu siasatan. -K! ONLINE