LONDON – Tottenham Hotspur dilaporkan tidak mampu untuk kehilangan bintang sensasinya, Son Heung-min menyebabkan mereka sudah bersedia untuk menawarkan kontrak baharu.
Spurs dilihat sangat aktif pada pasaran perpindahan lalu apabila berjaya menandatangani tujuh pemain baharu termasuk pemain pertahanan Wales, Joe Rodon dari Swansea pada saat akhir perpindahan domestik Jumaat lalu.
Bagaimanapun, kelab itu kini fokus untuk mengadakan rundingan dengan beberapa pemain utama pasukan itu dan mengekalkan Heung-min adalah menjadi keutamaan mereka.
Pemain berusia 28 tahun itu menjadi tonggak penting Mourinho apabila meledak 18 gol di bawah kendalian pengurus dari Portugal itu.
Heung-min berjaya meledak lapan gol dari tujuh perlawanan musim ini dalam semua kejohanan menyebabkan Spurs perlu menyediakan kontrak yang lebih lumayan untuk memastikan dia terus kekal.
Ketika ini, bintang dari Korea Selatan itu memasuki tahun kedua terakhir kontraknya biarpun Pengerusi Spurs, Daniel Levy mengeluarkan arahan supaya urusan rundingan pembaharuan kontrak perlu dibuat sebelum pemain berkenaan memasuki fasa dua tahun terakhir perjanjian.
Spurs dikatakan sudah belajar daripada kesilapan menyebabkan mereka terpaksa melepaskan khidmat Christian Eriksen dengan nilai yang lebih murah kepada Inter Milan ekoran pemain itu hanya mempunyai baki kontrak setahun.
Kelab itu dilaporkan tidak mahu masa depan Heung-min menjadi taruhan selepas impak besar yang diberikan dan ketika ini pemain itu menerima gaji mingguan sebanyak £150,000 (RM805,196) seminggu.
Selain Heung-min, dua lagi pemain Spurs, Serge Aurier dan Erik Lamela turut berada pada fasa dua tahun terakhir kontrak mereka. – AGENSI