fbpx

SJR Kemaman kesan 600 kesalahan trafik dalam tempoh 10 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KEMAMAN – Sebanyak 600 kompaun kesalahan trafik telah dikeluarkan sepanjang tempoh 10 hari pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di daerah ini sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, SJR yang diadakan di dua lokasi di daerah ini iaitu Jalan Air Putih-Chukai dan Jalan Geliga-Chukai di sini turut telah memeriksa lebih 3,000 kenderaan dalam tempoh sama.

“Kompaun tersebut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tiada perlindungan insurans serta cukai jalan.

“Kita juga ambil kesempatan mengingatkan pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 menerusi SJR ini,” katanya selepas mengetuai operasi SJR di Jalan Air Putih di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Haki berkata, sebanyak 312 kompaun telah dikeluarkan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, kompaun tersebut berjumlah RM1,000 setiap satu dan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah kegagalan mematuhi peraturan penjarakan fizikal sejauh satu meter dan tidak memakai pelitup muka.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dengan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah membentuk lapan pasukan yang sentiasa memantau kawasan tumpuan ramai di daerah ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI