BERPAKAIAN serba gelap dengan topi keledar hitam yang dilengkapi pelindung mata atau visor, seragam dipakai wanita berusia 30 tahun itu tidak ubah seperti watak filem Hollywood, RoboCop.
Imej ditampilkan oleh Siti Nabilah Isnariah Mohd. Jonib yang juga anggota polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu telah berjaya mencuri tumpuan penumpang di Stesen Kuala Lumpur (KL) Sentral.
Rata-rata penumpang yang berada di platform dan di dalam tren teruja melihat topi keledar digayakan oleh anak kelahiran Bachok, Kelantan itu yang kelihatan unik.
Hakikatnya, ramai pada awalnya tidak menyedari bahawa aksesori baharu yang dikenali sebagai smart helmet atau topi keledar pintar itu mampu mengesan suhu manusia dengan sekali imbas sahaja.
Peranti berkenaan diperkenalkan sebagai tambahan bagi amalan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada oleh pihak KTMB bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 dalam masyarakat.
“Saya sangat teruja dan bangga dapat memakai topi keledar pintar yang baharu ini sewaktu menjalankan tugas di platform atau dalam tren.
“Pada mulanya, ramai penumpang tidak tahu fungsi topi keledar ini, namun selepas tular di media sosial, mereka mula berasa kagum,” katanya ketika ditemu bual K2 di Stesen KL Sentral baru-baru ini.
KTMB merupakan penyedia perkhidmatan KTM Komuter, kereta api antara bandar dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang menghubungkan antara negeri-negeri di Semenanjung.
Buat masa ini KTMB hanya mempunyai dua unit topi keledar pintar itu yang digunakan secara bergilir-gilir oleh anggota polis bantuan sewaktu menjalankan tugas.
Topi keledar yang dianggarkan bernilai RM30,000 hingga RM50,000 itu dibekalkan oleh sebuah syarikat tempatan untuk tujuan percubaan selama dua minggu.
Menurut Siti Nabilah Isnariah, topi keledar berkenaan membantu memudahkan tugasnya mengimbas suhu para penumpang yang menggunakan perkhidmatan KTMB.
Wanita yang sudah berkhidmat selama lima tahun sebagai polis bantuan itu memberitahu, menerusi topi keledar berkenaan, dia tidak perlu lagi menggunakan alat pengimbas suhu sedia ada.
“Sebelum ini, saya kena bawa alat pengimbas suhu untuk mengetahui suhu badan penumpang. Situasi ini berbahaya kerana risiko mendapat jangkitan Covid-19 tinggi.
“Namun, dengan topi keledar ini, saya boleh tahu suhu badan penumpang dengan cepat. Saya hanya perlu menghala kamera yang terdapat pada topi ini kepada penumpang dan suhu akan tertera pada skrin visor,” ujarnya.
Meskipun begitu, Siti Nabilah Isnariah akui berasa kurang selesa sedikit apabila menggunakan topi keledar berkenaan bagi tempoh lama.
Katanya, topi keledar tersebut agak berat dan membuatkannya berasa panas, namun itu bukan halangan demi tugas yang telah diamanahkan.
Menggunakan teknologi dari China, topi keledar pintar itu dilengkapi dengan kamera pengimbas suhu yang mampu mengimbas suhu badan ketika manusia sedang bergerak.
Ketepatan
Topi keledar pengimbas tersebut kemudian akan memaparkan suhu manusia yang disaring pada skrin kecil di sebelah kanan visor itu.
Menariknya, data suhu yang disaring kemudian akan disimpan dalam kad penyimpanan data yang terdapat di sebelah kiri topi keledar.
Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad Asri Khalbi berkata, sebelum ini pihaknya menggunakan pengimbas suhu automatik yang disediakan di stesen, selain cecair pembasmi kuman dan amalan sanitasi tren.
Jelasnya, penggunaan topi keledar berkenaan adalah salah satu usaha penambahbaikan SOP sedia ada bagi membantu mengesan mereka yang bersuhu tinggi.
“Kami di KTMB sentiasa berusaha membuat perubahan untuk menambah baik SOP sedia ada. Ini secara tidak langsung dapat memudahkan tugas anggota kami dan para penumpang.
“Penggunaan topi keledar pintar ini sangat praktikal dalam usaha kita memutuskan rantaian Covid-19 dalam masyarakat terutamanya pengguna KTMB,” terangnya.
Ahmad Asri memberitahu, topi keledar berkenaan mampu mengesan suhu manusia dengan pantas dengan kadar ketepatan sehingga 99.99 peratus.
Tambahnya, kamera pada topi keledar berkenaan juga boleh mengesan suhu badan penumpang dari jarak dua hingga tiga meter.
“Pelindung muka pada topi keledar pintar akan memberi amaran kepada pemakainya jika ada penumpang dikesan melebihi suhu normal badan iaitu melebihi 37.5 darjah Celsius.
“Usaha ini diharap dapat membantu meningkatkan keyakinan penumpang untuk menggunakan perkhidmatan KTMB meskipun pandemik Covid-19 sedang melanda,” katanya.
Kongsinya lagi, penggunaan topi keledar pintar tersebut masih di peringkat percubaan bagi menilai keberkesanan dan kesesuaiannya kepada anggota polis bantuan KTMB.
Ujarnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menambah penggunaan topi keledar berkenaan pada masa depan sekiranya pandemik Covid-19 masih berleluasa.
“Kami akan menilai dulu kesesuaian topi keledar ini dalam tempoh dua minggu yang bermula Isnin lalu. Jika ada keperluan, kami akan membeli dan menggunakannya untuk stesen KTMB lain,” ujarnya.
Untuk makluman, topi keledar serupa turut diguna pakai oleh masjid-masjid di Brunei bagi mengimbas suhu badan jemaah yang hadir untuk solat Jumaat.
Bagi salah seorang penumpang KTMB, Nik Mohd. Fadly Nik Mat, 35, berpendapat, penggunaan topi keledar berkenaan perlu diperluaskan ke stesen-stesen lain.
Dia yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter setiap hari dari Seremban, Negeri Sembilan ke KL Sentral itu menjelaskan, langkah itu dapat mengurangkan rasa bimbangnya menggunakan perkhidmatan tren.
“Pada waktu puncak, tren amat padat sekali gus meningkatkan risiko jangkitan. Jadi dengan adanya topi keledar ini, mereka yang bergejala dapat dikesan dengan mudah dan cepat,” katanya.
Nik Mohd. Fadly yang juga kakitangan awam menambah, dia teruja melihat kelibat polis bantuan KTMB yang mengenakan topi keledar tersebut.
Katanya, topi keledar pintar itu mempunyai fungsi seperti yang digunakan oleh watak adi wira dalam filem aksi dan animasi.
“Ia satu inovasi yang menakjubkan, selalunya kita lihat peranti seperti ini dalam filem X-Men, RoboCop dan Dragon Ball sahaja.
“Namun, kini ia sudah digunakan dalam dunia nyata. Saya tidak melepaskan peluang merakam gambar bersama anggota polis bantuan ini sebagai kenangan,” tuturnya.