LIVERPOOL – Bekas penjaga gol Manchester United dan Chelsea, Mark Bosnich percaya pemain yang menyebabkan kecederaan pemain lain perlu digantung selama mana pemain yang dicederakannya terpaksa berehat untuk pulih.
Bosnich yang berasal dari Australia itu mengulas mengenai insiden terjahan keras penjaga gol Everton, Jordan Pickford sehingga menyebabkan pemain pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk mengalami kecederaan lutut serius.
Dalam aksi tersebut, Van Dijk yang berada dalam kedudukan ofsaid menyelamatkan Pickford daripada dilayangkan kad merah walaupun tindakannya itu sepatutnya menyebabkan dia dibuang padang.
“Dia terlupa mengenai satu perkara iaitu tindakan cuainya itu mendatangkan bahaya kepada pemain lain.
“Dalam situasi ini saya fikir pemain yang menyebabkan kecederaan kerana tindakannya yang melulu perlu digantung untuk tempoh sehingga pemain yang dicederakannya itu pulih dan kembali beraksi.
“Terjahan seperti itu termasuk apa yang dilakukan oleh Richarlison adalah tidak sepatutnya. Namun, pada saya apa yang dilakukan Richarlison itu lebih teruk dan tidak bertanggungjawab berbanding apa yang dibuat Pickford.
“Sama ada mereka berniat untuk menyebabkan kecederaan atau sebaliknya, mereka telah menyebabkan pemain lawan dalam risiko dan bahaya,” katanya.
Liverpool dalam kenyataan tidak meletakkan tarikh bila Van Dijk akan kembali menyertai pasukan itu dan laporan awal menyebut bahawa pemain antarabangsa Belanda itu mungkin terlepas aksi sepanjang musim ini. – AGENSI