fbpx

Peniaga ikan mengaku tidak salah tipu lelaki RM60,000 selesai hutang ah long

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH Azraie Jamaludin ,43, keluar dari Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung hutang ah long awal bulan ini.

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN

PETALING JAYA – Seorang peniaga ikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu seorang lelaki berjumlah RM60,000 bagi menyelesaikan hutang ah long awal bulan ini.

Tertuduh Azraie Jamaludin ,43, yang menggunakan tongkat membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Azraie didakwa menipu seorang perkerja teknologi maklumat berusia 40 tahun dengan memperdayakannya menyerahkan wang berjumlah RM60,000 yang mana wang itu diserahkan secara tunai.

Ia bagi penyelesaian hutang ah long yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing di The Coffee Bean, Tropicana Avenue dan Hotel Eastin di sini pada 5 dan 9 Oktober lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Atifah Hazimah Wahab mencadangkan jumlah jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun peguam Siti Rohaya Mohd. Tajudin memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan tertuduh merupakan peniaga ikan selain mengalami penyakit jantung dan kanser.

“Tertuduh turut menanggung ibu bapanya yang sakit,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Nurshaira kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tarikh 14 Disember ini ditetapkan sebutan semula kes.

Kosmo! Ahad lalu melaporkan tembelang seorang lelaki bergelar Datuk yang disyaki terlibat dalam kes ceti haram dengan menyamar sebagai polis bagi tujuan mengutip hutang daripada peminjam akhirnya terbongkar selepas dia diberkas Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata suspek berusia 43 tahun itu ditahan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras pada pukul 12.45 tengahari.

Menurut Muhammad Yazid lelaki itu merupakan suspek utama dalam kes menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman untuk memperdayakan mangsa pinjaman wang tidak berlesen membayar wang berjumlah RM60,000.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI