Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
PORT DICKSON- Pantai Cermin di Batu 10, dekat sini dan persisiran pantai Tanjung Tuan, Melaka yang terjejas ekoran insiden tumpahan minyak minggu lalu kini semakin beransur pulih selepas operasi pembersihannya ditamatkan Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Osman berkata, perkembangan positif itu turut menyaksikan beberapa haiwan akuatik turut kembali ke habitat asal di kawasan tersebut.
“Alhamdulillah, sejak kerja-kerja pembersihan ditamatkan pada Isnin lepas, nampak tanda-tanda keadaan persekitaran di Tanjung Tuan dan Pantai Cermin telah kembali pulih seperti sedia kala termasuk hidupan akuatik seperti belangkas, penyu, ikan dan monyet yang telah kembali semula ke tempat asalnya.
“Pihak kami dengan kerjasasama Jabatan Laut, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perhilitan akan memantau perkembangan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah Rosli, pihaknya akan terus memantau keadaan di Pantai Cermin dan Tanjung Tuan dalam tempoh dua minggu bermula Isnin lalu.
Difahamkan Pantai Cermin merupakan kawasan larangan perikanan di mana hidupan marin di kawasan berkenaan tidak boleh diambil pihak yang tidak bertanggungjawab.
Isnin lalu, selepas seminggu insiden tumpahan minyak di Pantai Cermin berlaku, kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut dihentikan operasi itu mula menunjukkan perkembangan positif.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Fazlisyah Muslim ketika itu menjelaskan, keadaan pantai juga dilihat semakin beransur pulih dan bersih menyebabkan pihaknya mengambil keputusan untuk memberhentikan operasi sepenuhnya. -K! ONLINE