MENDENGAR muzik ataupun apa-apa alunan bunyi yang mendamaikan membolehkan seseorang individu berasa lebih tenang.
Menggunakan fon telinga ketika mendengar alunan bunyi tersebut membuatkannya lebih ‘sedap’ untuk didengar.
Kini pelbagai jenis fon telinga boleh didapati di pasaran bermula pada harga mampu milik sehinggalah premium.
Syarikat pengeluar peranti pintar terkemuka, Oppo tidak ketinggalan untuk mengeluarkan fon telinga bagi memenuhi keperluan pengguna.
Fon telinga tanpa wayar Oppo Enco W11 merupakan taruhan terbaharu syarikat tersebut di pasaran.
Ditawarkan pada harga mampu milik, Oppo Enco W11 berada dalam kelasnya yang tersendiri untuk kualiti audio.
Bunyi audio fon telinga ini masih kekal jelas walaupun ia digunakan dalam keadaan yang agak bising.
Bunyi bass untuk fon telinga ini boleh dikatakan memuaskan dan lagu yang banyak menonjolkan bass lebih puas untuk didengar.
Dalam pada itu, reka bentuk Oppo Enco W11 ini juga cukup menarik kerana mengikut ukuran geometri telinga.
Dengan saiz hanya sebesar jari telunjuk, ia memberi keselesaan pada telinga walaupun dipakai dalam satu tempoh agak lama.
Ketahanan bateri untuk fon telinga ini adalah selama lima jam untuk sekali pengecasan dan hampir 20 jam dengan menggunakan bekas pengecas.
Dengan 15 minit pengecasan, anda mampu memainkan lagu selama hampir satu jam.
Fon telinga ini juga mempunyai penilaian IP55 untuk ketahanan air dan habuk.
Walaupun berpeluh atau terkena hujan, ia masih boleh berfungsi.
Selain itu, fon telinga ini dilengkapi dengan sambungan Bluetooth versi 5.0 dan ia mudah untuk dihubung dengan peranti lain.
Setelah fon telinga ini dihubungkan dengan peranti anda yang lain, secara automatik ia akan berhubung semula setiap kali digunakan dalam jarak 10 meter.
Buat masa ini, pilihan warna untuk peranti itu tidak ada kerana ia hanya didatangkan dengan warna putih sahaja.