fbpx

Jadilah selebriti bertanggungjawab dalam promosi produk kesihatan – KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IKLAN yang buat oleh selebriti termasuk instafamous perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan KKM.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mahu selebriti tanah air supaya lebih bertanggungjawab apabila mempromosikan dan mengiklankan produk kesihatan kepada orang awam.

Menerusi hantaran di Facebook, KKM memaklumkan, selebriti perlu mempunyai tanggungjawab sosial bagi memastikan pengiklanan dan promosi produk dibuat secara telus dan jujur serta mematuhi undang-undang dikuatkuasakan.

“Pengaruh iklan dan promosi memberi kesan kepada pengguna yang kemudiannya terpengaruh membeli produk hasil pengiklanan yang dibuat oleh seseorang selebriti.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi selebriti. Daripada artis, pelakon, penyanyi, pelawak, tokoh, agamawan hingga ke blogger dan instafamous. Tidak dinafikan selebriti mempunyai pengaruh yang kuat dalam komuniti kita,” katanya.

Katanya, selebriti ditegah daripada mengiklankan ubat yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, ubat yang memerlukan preskripsi dan makanan serta kosmetik yang membuat tuntutan perubatan.

Sebagai contoh, katanya, selebriti tidak boleh membuat tuntutan perubatan kononnya produk makanan yang dipromosikan boleh merawat kencing manis, darah tinggi, sakit-sakit sendi, arthritis dan bengkak prostat.

Selain itu, selebriti turut dilarang membuat tuntutan perubatan bahawa produk kosmetik yang diiklankan mampu merawat sakit kulit, sakit sendi, kuruskan badan dan meningkatkan prestasi seksual.

Dalam pada itu, selebriti turut dilarang mengaitkan produk dengan makanan Sunnah atau yang berkaitan dengannya seperti mempromosikan produk yang dibacakan ayat al-Quran dan makanan Sunnah.

Sementara itu, KKM menyenaraikan larangan pengiklanan produk yang berkaitan dengan 20 penyakit iaitu buah pinggang, jantung, kencing manis, sawan, lumpuh, batuk kering, asma, kusta, barah, pekak, ketagihan dadah, angin pasang, penyakit mata, tekanan darah tinggi, sakit mental, kemandulan, lemah fungsi seks, sakit kelamin dan lemah urat saraf.

“Justeru, selebriti dinasihatkan supaya selidik latar belakang syarikat sebelum dilantik sebagai ejen atau duta.

“Selebriti juga dilarang membuat pengiklanan secara profesional dan tidak mencipta kontroversi sama ada menyinggung mana-mana kumpulan bangsa, agama dan kaum,” katanya.

Katanya, mana-mana yang mengambil bahagian dalam penyiaran sesuatu iklan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 5, Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956).

Bagi kesalahan pertama, denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya manakala, bagi kesalahan berikutnya pula, denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

KKM berharap selebriti dalam mematuhi iklan perubatan bagi memastikan pengiklanan yang benar dan tidak menjejaskan atau melanggar norma-norma sosial.

Menurutnya, kawalan terhadap iklan perubatan juga bertujuan melindungi kesihatan awam dengan menggalakkan penggunaan ubat-ubatan selamat sekali gus mematuhi undang-undang yang dikuatkuasa.

Garis panduan penuh bagi ‘Panduan Kepada Selebriti Dalam Pengiklanan Produk Kesihatan’ boleh didapati dalam laman web https://www.pharmacy.gov.my/v2/ms.

Kosmo! hari ini melaporkan seorang Instafamous ditahan kerana dipercayai menjual minyak wangi tiruan pelbagai jenama antarabangsa dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Taman Pinggiran Putra di Seri Kembangan, Selangor. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI