fbpx

Dugaan pasangan jaga tiga zuriat OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mas IMRAN menyampaikan bantuan kepada Rahimah selepas melawat keluarga wanita itu di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Sebuah keluarga di Bandar Dato’ Onn di sini terpaksa meraih simpati memohon bantuan orang ramai bagi menampung per­belanjaan ha­rian selepas ketua rumah itu diberhentikan kerja pada Januari lalu.

Abu Bakar Daud, 52, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori terpaksa menerima hakikat kehilangan pekerjaan itu selepas dia mengambil cuti dua minggu untuk menjaga anak bongsunya yang sakit.

Isteri Abu bakar, Rahimah Abd. Karim, 46, merupakan seorang suri rumah. Pasangan itu menjaga tiga anak orang kelainan upaya (OKU).

Cerita Rahimah, kehidupan selesa mereka sekeluarga berubah sekelip mata selepas suaminya diberhentikan kerja pada Januari lalu.

“Sebelum ini, pendapatan suami cukup untuk menampung kami sekeluarga termasuk me­nguruskan anak bongsu, Mohd. Rafiq berusia 15 tahun yang mempunyai penyakit paru-paru kronik,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menurut Rahimah, satu demi satu ujian menimpa keluarganya. Selepas Mohd. Rafiq dijemput Ilahi pada Disember tahun lalu, suaminya pula diberhentikan kerja tidak lama kemudian.

Anak sulungnya, Nurul Ain, 21, dan anak ketiganya, Aiman Hakim, 17, merupakan OKU masalah pembelajaran.

Anak keduanya iaitu Moha­mad Nihal, 18, pula mempunyai masalah paru-paru kronik dan memerlukan penjagaan rapi.

“Walaupun suami sudah kembali bekerja baru-baru ini, namun pendapatannya sebagai pemandu lori kali ini tidak mencukupi kerana kami menguruskan tiga anak OKU.

“Orang sekeliling mengecam dan memandang serong ke­rana tidak bekerja membantu suami. Kalau saya bekerja siapa akan jaga anak-anak,” soalnya.

Jelasnya, sejak suaminya diberhentikan kerja, sewa rumah sebanyak RM1,200 sebulan masih tertunggak, namun wanita itu bernasib baik kerana tuan rumah memberi kelonggaran untuk membayar secara ansuran.

Dalam pada itu, kesusahan hidup keluarga Rahimah mendapat perhatian Econsave baru-baru ini.

Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya me­nyalurkan bantuan lampin dewasa pakai buang dan bara­ngan keperluan harian bernilai RM1,000.

Orang ramai yang mahu meng­hulurkan bantuan kepada keluarga Rahimah boleh menghubungi­nya talian 0111-6708 073.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI