Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
ALOR GAJAH – Cubaan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dengan memecut laju sebuah bot pancung gagal selepas kesemua mereka dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 7.6 batu nautika barat Tanjung Sepat, Selangor, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.25 malam itu, keempat-empat yang ditahan berusia antara 38 hingga 53 tahun dipercayai cuba memasuki negara ini melalui perairan Indonesia.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Sembilan dan Melaka, Kapten Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada stesen pengesanan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) berkenaan pergerakan masuk sebuah bot dari perairan Indonesia.
“Sejurus menerima maklumat, dua bot Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi dan mendapati sebuah bot berada dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut tiba-tiba memecut laju dengan cubaan berpatah balik ke perairan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jelasnya, pasukan Maritim Malaysia bertindak mengejar bot berkenaan dalam masa kira-kira 30 minit sebelum berjaya menahan bot tersebut pada pukul 9.55 malam.
Mengulas lanjut, Haris Fadzillah berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot pancung yang menggunakan empat unit enjin sangkut jenama Yamaha 200 kuasa kuda itu menemukan keempat-empat PATI tersebut termasuk seorang tekong warga Indonesia.
“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Negeri Sembilan dan Melaka untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
”Kita mengesyaki bot yang ditahan itu menjalankan aktiviti penyeludupan berdasarkan kapasiti muatan yang besar serta keupayaan enjin bot tersebut mampu memecut pada kelajuan 52 knot,” katanya. -K! ONLINE