Oleh NOR SHAFAWATI YUP
SEREMBAN – Seorang bekas Setiausaha sebuah syarikat koperasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperoleh suapan untuk menjalankan program perindustrian berorientasikan kerjaya melalui syarikat miliknya sendiri, lima tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, M. Santhi, 55, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Madihah Harullah.
Bagi pertuduhan pertama, pada 2015 Santhi yang ketika itu bertugas sebagai Setiausaha sebuah syarikat koperasi didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan iaitu terlibat dalam proses pemilihan telah melantik syarikat miliknya sendiri, Shanvi Management and Trading untuk menjalankan program perindustrian berorientasikan kerjaya di Perak bernilai RM125,000.
Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, wanita tersebut didakwa melakukan kesalahan sama juga pada 2015 iaitu menerima suapan dengan melantik syarikatnya untuk menjalankan program sama di Pahang bernilai RM120,150 dan di Kedah berjumlah RM115,100.
Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu ketika prosiding, Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Zainab Yahaya menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam, M.Dinesh yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya sudah tidak bekerja, mempunyai dua orang anak dan menghidap darah tinggi.
“Selain itu, M.Santhi memberikan kerjasama yang baik kepada pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan RM10,000 kepada tertuduh dan meletakkan syarat tambahan yang dikemukan.
Mahkamah menetapkan kes tersebut disebut semula pada 25 November depan. -K! ONLINE