fbpx

Aksi Pulau Pinang gaya ala Barcelona

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN Pulau Pinang yang menjuarai Liga Premier musim lepas dijangka mengekalkan gaya permainan tiki taka pada saingan Liga Super musim depan.

MUNGKIN agak keterlaluan mengatakan Pulau Pinang adalah ‘Barcelona Malaysia’, namun berdasarkan gaya permainan hantaran pendek yang diterapkan oleh skuad juara Liga Premier itu sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini mirip-mirip aksi The Catalans.

Individu yang bertanggungjawab menerapkan gaya permainan itu sudah pasti tidak lain dan tidak bukan ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid yang mahu skuad Harimau Kumbang mempunyai identiti tersendiri dan dikenali sebagai pasukan dengan corak permainan menarik.

Pengendali berusia 43 tahun itu mendedahkan, beliau memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk menerapkan falsafah permainan itu sesuai dengan kualiti pemain dan budaya bola sepak Malaysia.

“Mana-mana jurulatih di Malaysia atau luar negara seronok untuk bermain cantik macam Barcelona. Jadi, saya cuba jadikan ia sebagai satu tabiat kepada para pemain.

“Saya perlu ambil satu tempoh masa yang lama untuk menjadikan ia satu identiti pasukan. (Lionel) Messi, Xavi dan (Andres) Iniesta sudah biasa dengan corak tiki-taka sejak dari Akademi Barcelona hinggalah ke skuad senior.

“Kita belum sampai ke tahap itu lagi kerana tiada kesinambu­ngan dari peringkat pembangunan hingga senior, mungkin salah satunya disebabkan kekerapan menukar jurulatih.

“Saya akan mencuba juga tetapi saya perlu lebih masa dan pemain yang sesuai dengan pendekatan hantaran pendek agar sepadan dengan rentak perlawanan di Malaysia,” katanya.

Mungkin ramai tidak sedar tetapi Pulau Pinang sudah banyak kali menjaringkan gol dalam saingan Liga Premier musim ini menerusi gerakan menarik beberapa pemain dengan menggunakan hantaran pendek dari kawasan tengah atau tepi padang.

Falsafah permainan itu bukan sahaja membantu Pulau Pinang layak ke Liga Super 2021 tetapi turut menyaksikan duo serangan pasukan tersebut iaitu Ca­sagrande dan Endrick dos Santos muncul dua penjaring terbanyak Liga Premier musim ini.

Skuad Harimau Kumbang pastinya akan meneruskan corak permainan itu meskipun bakal berdepan lawan-lawan lebih handal daripada kancah Liga Super dalam saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirainya awal bulan depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI