KUALA LUMPUR- Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi baharu iaitu di dua lokasi di Seberang Perai, Pulau Pinang dan satu di Sandakan, Sabah.
Lokasi tersebut ialah, Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Seberang Perai, Sungai Jawi di Seberang Perai Selatan serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Taman Sandakan, Sabah.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlaksanaan PKPD di Penjara Seberang Perai akan berkuat kuasa esok hingga 4 November depan, manakala di PPR Harmoni pula bermula Jumaat ini hingga 5 November depan.
“Arahan itu bertujuan mengawal pergerakan keluar masuk dan mempermudahkan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 terhadap individu bersasar di penjara terbabit.
“Seramai 3,362 individu terbabit, masing-masing 2,110 banduan, manakala 1,000 kakitangan penjara dan keluarga yang mendiami kuaters, kakitangan tidak mendiami kuarters (120) dan kakitangan awam (32).
“Tahanan yang akan dibebaskan dalam tempoh PKPD akan diasing dan dikuarantin di tempat diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, iaitu di Institut Latihan Kecemerlangan MARA, SPS hingga tamat tempoh kuarantin,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Ismail Sabri, prosedur operasi standard (SOP) hampir sama, tiada keluar masuk di kawasan penjara dan juga sebaliknya, selain keluarga tak dibenarkan melawat banduan.
Manakala PKPD di PPR Harmoni, Ismail Sabri berkata, ia membabitkan 4,481 penduduk di 870 unit rumah.
Katanya, penduduk tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing, kecuali bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian selain perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kementerian Kesihatan akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk terbabit dan bekalan keperluan makanan akan diagihkan kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana negeri.
“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan dan pegawai diberi kuasa akan mengawal seluruh kawasan terbabit,” jelasnya.- K! ONLINE