Oleh ROHANA MOHD. NAWI
BACHOK – Jabatan perikanan Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor merampas 1,001 unit bubu naga yang dianggarkan bernilai RM134,900 dalam Ops Bersepadu dalam tempoh tiga tahun.
Ops Bersepadu yang berakhir semalam itu menyaksikan kedua-dua agensi itu berjaya merampas 320 unit bubu naga bernilai RM49,400 dalam operasi terakhir.
Pengarah Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 40 bot yang bertujuan untuk mengesan pemilik yang dikesan melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan.
Menurutnya, operasi berkenaan dilakukan bagi memastikan sumber perikanan negara tidak akan terjejas.
“Setiap bot hanya dibenarkan menggunakan dua unit bot bubu naga.
“Tangkapan dan sitaan bubu naga itu yang berada dalam tiga buah bot dilakukan di jeti pendaratan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perikanan Tawang di sini hari ini.
Hadir sama, Pegawai Memerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd. Rudzuan Ahmad.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, operasi yang membabitkan 26 pegawai dan anggota dengan menggunakan tiga buah bot itu akan diteruskan pada akan datang.
Menurutnya, penggunaan bubu naga itu dilarang penggunaan lebih dari dua unit kerana memberi kesan kepada sumber benih ikan akan pupus.
“Setakat ini kita sentiasa melakukan pemantauan terhadap bot-bot tradisi yang kebanyakkan mereka menggunakan bubu naga.
“Sekiranya ada nelayan ingkar, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya.
Tambahnya, bagi nelayan yang memasang belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran juga boleh dikenakan tindakan. -K! ONLINE