PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) pada hari pertama beliau kembali bertugas di pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.
Zulkifli menerusi ciapan di Twitter memaklumkan bahawa Mesyuarat Ahli Pemegang Amanah YKM itu dibuat secara sidang video.
“Saya mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pemegang Amanah YWM Siri 32 Bil. 3/2020 secara sidang video pada pagi tadi,” katanya hari ini.
Terdahulu, Zulkifli menzahirkan rasa syukur kerana dapat kembali bertugas di pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya.
Katanya, kehadirannya disambut oleh para pengawal keselamatan dan kakitangan kebersihan yang disifatkan sebagai hero tidak didendang.
“Alhamdulillah, hari pertama kembali bertugas. Saya disambut dengan meriah di lobi Kompleks Islam Putrajaya oleh para pengawal keselamatan dan kakitangan kebersihan.
“Terima kasih atas sambutan. Mereka adalah hero yang sentiasa dekat di hati saya,” katanya.
Kosmo! pada 15 Oktober lalu melaporkan Zulkifli dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19. -K!ONLINE