Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu jirannya dan melakukan ugutan mencederakan mangsa pada dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Halil Sairun, 72, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun lima bulan antara pukul 11.30 pagi hingga 2.30 petang di sebuah rumah di Bukit Darat, Tanjong Kling pada 13 Oktober lalu.
Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa telah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah dengan mengugut secara lisan ke atas nenek saudara mangsa dengan berkata “Kalau kau cerita pada sesiapa, aku tuba semua keluarga kau”.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 12 tengah hari di lokasi sama pada 7 Oktober lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Difahamkan kanak-kanak tersebut dijaga oleh nenek saudaranya yang tinggal berjiran dengan warga emas berkenaan.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah meletakkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Peguam Azrul Zulkifli Stork dan Haslinda Abu Bakar yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan bagi kedua-dua pertuduhan dan turut meminta keluarga mangsa agar tidak membenarkan kanak-kanak itu berada berdekatan tertuduh, selain mengambil kira faktor usia anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5, 000 bagi kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh tidak mendekati mangsa dan sebaliknya kepada keluarga kanak-kanak itu.
Beliau turut menetapkan tarikh 18 November depan sebagai sebutan semula kes. Tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut. -K!ONLINE