UNITED KINGDOM – Legenda Formula Satu (F1), Jackie Stewart berharap pelumba pasukan Ferrari, Sebastian Vettel mempertimbangkan cadangan untuk bersara.
Pelumba Jerman itu gagal mencapai potensi sebenar musim ini apabila dilihat sering bergelut dalam setiap aksi dan masih belum memenangi sebarang perlumbaan.
Justeru, Stewart menganggap sudah tiba masanya juara dunia empat kali itu mengumumkan persaraan dan menyertainya sebagai duta sukan permotoran tersebut.
“Sebastian Vettel adalah individu yang sangat baik. Saya tidak nafikan dia memiliki karier yang sangat luar biasa dan salah seorang pelumba terbaik di dunia.
“Bagaimanapun, secara peribadi saya mahu dia bersara dan menyertai saya. Dia adalah calon tepat untuk menjadi duta kepada sukan ini di peringkat antarabangsa,” kata Stewart.
Stewart yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Flying Scot’ mengakui kecewa apabila menyaksikan Ferrari mengharungi musim agak mengecewakan biarpun sering dianggap antara pasukan pencabar setiap tahun.
“Ferrari adalah jenama yang sangat hebat tetapi tahun ini boleh dianggap sebagai bencana untuk mereka. Saya harap mereka akan kembali ke prestasi terbaik pada musim depan untuk memastikan sukan ini terus kompetitif dan tidak membosankan,” ujar beliau. – AGENSI