fbpx

Tidak pakai pelitup muka, lelaki Myanmar dijel 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Padah tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tidak memakai pelitup muka, seorang lelaki warga Myanmar dihukum penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret S. Mageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap Ki Raung Do Raung, 21, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman berjalan bermula dari tarikh Ki Raung ditangkap iaitu pada 6 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, Ki Raung yang tidak bekerja itu didakwa gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat jangkitan) 2020 dengan tidak memakai topeng pelitup muka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Gombak, Setapak, di sini, pukul 12.30 tengah hari pada 6 Oktober lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Hukuman bagi peraturan itu denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran agar orang lain tidak melakukan kesalahan sama.

Bagaimanapun Ki Raung  yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak mampu membayar denda kerana tidak mempunyai wang.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI