Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Kerajaan negeri ini menafikan telah mengeluarkan arahan larangan rentas negeri seperti yang tular di media sosial sejak tengah hari tadi dan menegaskan ia adalah berita palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan seperti yang dilaporkan di dalam berita palsu tersebut.
“Ingin ditegaskan bahawa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang ditularkan mendakwa seluruh negeri ini dikenakan kawalan rentas negeri bermula tengah malam ini.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyiarkan sebarang berita palsu yang boleh menimbulkan keresahan, kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” kata kenyataan itu.
Katanya, dalam keadaan semasa pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan di seluruh negara termasuk Melaka, orang ramai tidak seharusnya mempercayai sebarang khabar angin atau berita palsu disiarkan oleh sumber-sumber yang tidak sah.
“Untuk mendapatkan maklumat tepat berkaitan perkembangan dan situasi semasa pandemik Covid-19 khususnya Melaka, orang ramai diminta merujuk kepada pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Melaka atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka, ” jelasnya.
Terdahulu, berita mengenai larangan rentas negeri membabitkan Melaka yang tular di laman sosial itu dilaporkan dengan menggunakan nama sebuah akhbar arus perdana termasuk nama wartawan dan jurugambar akhbar terbabit.
Wartawan berkenaan ketika dihubungi turut menafikan menulis berita berkenaan, malah terkejut kerana namanya digunakan untuk menyebarkan berita palsu tersebut.- K!ONLINE