Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Seorang ibu kepada enam orang anak boleh dianggap kental apabila nekad meninggalkan karier sebagai jurutera untuk menjual piza Jepun, Okonomiyaki secara komersial.
Piza menggunakan sos istimewa berasaskan ikan itu dihasilkan sendiri oleh Rosila Mohd. Rosidi, 42, dan digubah bagi menepati cita rasa tempatan sejak lima tahun lalu.
Rosila yang juga pengasas syarikat Dhuha Tensai Resources Enterprise menyedari risiko bakal ditempuh berikutan produk itu belum dikenali.
Bermodalkan RM10,000, pemegang Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Kolej Nasional Takamatsu di Shikoku, Jepun itu mula menjalankan kajian dan pembangunan pada 2015 sebelum produk diingini berjaya dihasilkan.
“Selain menggunakan platform media sosial, saya menyertai banyak program atau acara untuk mempromosikan produk.
“Selepas berusaha selama dua tahun, produk ini berjaya mendapat sambutan positif sehingga kini,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Jalan Kebun, di sini baru-baru ini.
Rosila yang berasal dari Temerloh, Pahang bersyukur apabila jenama komersialnya, DokiDoki Okonomi kini semakin berkembang di sekitar Lembah Klang.
Selain dijual menerusi akaun Facebook Dokidokiokonomi, piza berasaskan sayur, telur, serbuk rumpai laut dan sos ikan itu dijual di kiosk utama miliknya di Rekascape, Cyberjaya.
Di sebalik kejayaan wanita ini, jelas Rosila, dia menceburi bidang perniagaan kerana didorong keinginan mengikuti jejak langkah kedua arwah ibu bapanya.
“Mereka sebelum ini turut berniaga makanan dan tidak salah bagi saya untuk turut mencuba biarpun pernah menjadi jurutera sebelum ini,” katanya.
Rosila yang dikenali sebagai ‘Rose Piza Jepun’ mengakui menempuh cabaran getir dalam keadaan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sekarang.
Namun, ia tidak sesekali mematahkan semangat atau menghalang hasratnya untuk terus maju dalam arena perniagaan makanan.
“Saya mahu membantu individu berminat terutama golongan yang ingin menceburi bisnes ini bagi menambah pendapatan,” katanya.
Jelas Rosila, syarikatnya yang beroperasi di Puchong memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dia turut merancang untuk membuka lebih banyak kiosk.
“Bagi pelan tempoh jangka masa panjang, saya bercadang untuk membina kilang pemprosesan dan pembuatan produk.
“Selain bercita-cita memasarkan produk sejuk beku ke luar negara, saya kini merancang untuk menghasilkan kudapan berperisa piza Jepun,” katanya.
Produk DokiDoki Okonomi Rosila dengan sos ikan istimewa membawa slogan ‘Enginereed Your Taste’ berharga antara RM10 hingga RM18.
Selain bahan asas kobis dan hirisan ikan, piza itu menyediakan pilihan tambahan seperti ayam, udang dan sotong.